Sabotaj Umno: Tindakan pecat serta-merta
20 Oktober 2012
PAGOH - Umno telah menyediakan panduan mengenai
definisi terperinci perbuatan mensabotaj parti untuk digunakan
jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk memantau dan mengambil tindakan
segera terhadap mana-mana anggota parti yang mengkhianati atau
mensabotaj calon Barisan Nasional (BN).
Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun
panduan itu akan diperhalusi terlebih dahulu oleh jawatankuasa khas itu
yang dipengerusikan Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang
juga Pengerusi Lembaga Disiplin parti sebelum diedarkan kepada kesemua
bahagian.
"Semua ini akan diperhalusi oleh jawatankuasa yang dibentuk dan dibantu
oleh urus setia ibu pejabat Umno untuk menggariskan perkara-perkara
salah laku tadi dan akan kita edarkan kepada semua bahagian untuk
dijadikan panduan.
"Umpamanya kalau seseorang itu bertanding menentang calon Barisan
Nasional, itu sudah lebih daripada sabotaj dan pada masa yang lepas kita
ambil tindakan pecat serta-merta," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Karnival Keusahawanan dan Pendidikan Johor di Kompleks Sukan
Pagoh di sini hari ini.
Muhyiddin berkata pada masa lalu tindakan hanya diambil apabila laporan
diserahkan kepada Majlis Tertinggi selepas pilihan raya.
Menurutnya, kuasa sudah diturunkan semalam kepada jawatankuasa tersebut untuk bertindak dan memecat anggota parti yang melakukan salah laku itu dan jika panduan itu digunakan, tindakan segera dapat diambil tanpa menunggu mesyuarat Majlis Tertinggi diadakan.
Menurutnya, kuasa sudah diturunkan semalam kepada jawatankuasa tersebut untuk bertindak dan memecat anggota parti yang melakukan salah laku itu dan jika panduan itu digunakan, tindakan segera dapat diambil tanpa menunggu mesyuarat Majlis Tertinggi diadakan.
"Kali ini kita maklumkan awal bahawa sekarang jangan lakukan hal sebegini.
"Ini langkah-langkah pencegahan... apa yang penting ialah setiap ahli
parti sedar bahawa mereka harus sentiasa setia pada parti, setia pada
perjuangan dan sentiasa mahu menentukan BN dalam keadaan baik dan
mencapai kemenangan," katanya.
Majlis Tertinggi Umno semalam bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa
khas itu yang akan dianggotai beberapa anggota Majlis Tertinggi yang
tidak ada kepentingan selain anggota Lembaga Disiplin dan pihak tertentu
selaras dengan Fasal 10.15 yang dibaca bersama Fasal 20.3 Perlembagaan
Umno.
Anggota yang dilantik boleh memberi laporan kepada jawatankuasa itu dan
di samping itu laporan dibuat terus kepada ibu pejabat dan secara
online. - Bernama
No comments:
Post a Comment