Baru baru ini dalam program Tanyalah Ustaz TV9, seorang pemanggil telefon telah menceritakan bagaimana seorang mualaf yang telah berpuluh- puluh tahun masuk Islam yang langsung tak pernah solat kerana tak tahu bagaimana membaca bacaan dalam solat walaupun Al Fatihah. Pemanggil itu menanyakan Ustaz bagaimana hendak mengajar beliau solat. Ustaz itu memberitahunya solat itu perlu dilakukan dan mulakan dengan belajar pergerakan dan beberapa bacaan mudah sahaja dahulu. Yang penting ajarnya solat itu perlu dilakukan setiap waktu. Sedikit demi sedikit ajarlah bacaan dalam solat.
Sedih juga mendengar kisah benar ini. Maklumlah dalam usia emas mungkin agak payah baginya untuk belajar dengan mudah bacaan dalam solat.
Bagi saya usahlah kita menyalahkan pihak empunya diri ataupun orang yang hampir dengan mualaf tersebut samada suaminya atau keluarganya. Setiap orang Islam mempunyai peranan dalam berdakwah. Perkara yang berlaku pada makcik ini mungkin akibat kita sendiri yang terlepas pandang.
Bagi kita yang belum bertemu situasi ini janganlah kita mengasingkan diri daripada non muslim. Walaupun kita rasa ilmu tentang agama kita belum mencukupi tapi dengan memperlihatkan akhlak yang mulia seperti tolong membantu sesama insan seharusnya menjadi agenda dalam kehiduoan kita.
Teringat saya baru baru ini ceramah dalam Tanyalah Ustaz siri yang lain tentang bagaimana setiap hari Rasulullah menyuapkan makanan seorang Yahudi yang buta. Tanpa menyedari siapa yang menyuapnya,setiap hari dia akan mengutuk Rasulullah di hadapan orang ramai. Akhirnya Yahudi itu masuk Islam di zaman pemerintahan Abu Bakar. Bagaimana dia boleh tertarik untuk masuk Islam? Ianya berlaku selepas Abu Bakar datang untuk menyuapnya dan dia menyedari cara suapan itu tidak sama dengan cara orang sebelumnya. Apabila Abu Bakar memberitahu yang menyuapnya dahulu ialah Rasulullah, hatinya terbuka untuk menerima Islam.
Hidayah Allah datang tanpa diketahui sesiapa pun.
Sebenarnya kita semua mempunyai peranan samada kita berpengetahuan luas dalam agama ataupun tidak. Ia mungkin berlaku pada anak anak kita, adik beradik kita, kawan kawan kita atau orang disekeliling kita. Apa yang perlu kita ingat kita mempunyai peranan dalam menyedarkan mereka tapi kita perlu cara tersendiri untuk berdakwah keadaan mereka.
Sumber: myqisah.blogspot
No comments:
Post a Comment