“SAYA bukan pembawa sial, saya tidak salahkan takdir kerana ia takdir ALLAH SWT yang ditentukan-Nya,” itu luahan Nur Izah, 28, (bukan nama sebenar) memulakan bicara ketika menceritakan detik hitam yang terpaksa ditempuhinya.
Tragedi hidupnya bermula selepas kematian neneknya, lima tahun lalu. Sejak dilahirkan Izah dijaga neneknya kerana ibu bapanya sibuk urusan kerjaya.
“Sejak kembali ke pangkuan ibu bapa, baru saya ketahui bahawa mereka mengamalkan ajaran sesat dan percaya kepada seorang bomoh yang berusia lingkungan 40-an,” katanya.
Menurutnya, keluarganya mengambil jalan singkat dengan membawanya berjumpa bomoh berkenaan di ibu kota setelah didakwa membawa ‘sial’ kepada keluarga.
Malang bagi Izah apabila niat keluarganya menemui bomoh terbabit dengan harapan masalah yang dihadapi mereka berjaya dipulihkan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dirogol lelaki terbabit.
“Kejadian berlaku apabila bomoh terbabit mendakwa saya menjadi punca masalah rumah tangga serta kewangan ibu bapa,” katanya.
Nur Izah berkata, episod hitam bermula apabila bomoh berkenaan menjalankan upacara dengan mengarahkannya mandi terlebih dulu bagi ‘membuang sial’, sebelum membawanya ke bilik untuk rawatan seterusnya.
Menurut anak kedua daripada enam beradik itu, dia tidak menyedari niat jahat bomoh terbabit kerana menganggap ia sebahagian rawatan yang perlu dilalui.
“Saya diperkosa setiap kali berjumpa dengan bomoh berkenaan. Saya juga pernah dipukul abang dan dimarahi keluarga jika saya ingkar untuk menjalankan ‘rawatan’ itu,” katanya.
Menurutnya, disebabkan kejahilan tentang ilmu agama turut menjadi punca perkara ini berlaku ke atas keluarga.
“Banyak perkara dijanjikan bomoh berkenaan seperti kewangan keluarga kembali pulih dan pelbagai janji manis. Difahamkan beberapa orang turut menjadi mangsa bomoh terbabit,” katanya.
Nur Izah berkata, dia memaafkan perbuatan keluarganya dan berdoa agar mereka kembali ke pangkal jalan.
“Saya tidak salahkan mereka, ia berkemungkinan terpengaruh dengan hasutan bomoh tersebut sehingga rumah, kereta dan harta ditukar milik ke atas nama bomoh berkenaan,” katanya.
Menurutnya, setelah perkara itu dimaklumkan kepada ibu saudaranya, dia diselamatkan dan di hantar ke Pertubuhan Kebajikan Rumah Pemulihan Akhlak Insani (Rumah Insani), Bukit Beruntung, Hulu Selangor.
“Ibu saudara saya membuat laporan polis. Demi keselamatan, saya ditempatkan di rumah ini untuk belajar ilmu agama,” katanya.
Peluang kedua
Rumah Insani turut dihuni seorang remaja bekas penagih dadah. Jefri, 19, (bukan nama sebenar) yang sudi berkongsi kisah silamnya.
“Saya serik dengan pengalaman sebagai penagih sejak di bangku sekolah. Biarpun dibesarkan dengan kasih sayang ibu bapa.
“Saya harap peluang kedua ini, dapatdigunakan untuk hidup lebih gembira dan tenang,” katanya.
Menurutnya, semuanya bermula kira-kira 11 tahun lalu ketika tamat Penilaian Menengah Rendah (PMR), dia bersama rakan ingin mencuba sesuatu yang baru dan mengamalkan gaya hidup bebas.
“Aktiviti itu diteruskan sehingga saya mengabaikan persekolahan dan tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Jefri berkata, dia sanggup mencuri besi, menjual tong gas apabila kesempitan wang untuk membeli dadah jenis heroin.
“Saya juga mencuri wang ibu bapa semata-mata untuk mendapatkan bekalan. Saya langsung tidak ambil peduli kesusahan mereka,” katanya.
Menurutnya, kini dia tidak akan mensia-siakan ‘kehidupan kedua’ yang diberikan selepas menjalani proses pemulihan dengan menumpukan sepenuh masa kepada keluarga untuk menebus segala kesilapan lalu.
“Saya memenuhi hasrat arwah ayah agar saya dapat sambung belajar di Yaman. Saya berazam untuk bebas daripada pengaruh dadah,” katanya.
Menurutnya, namun setelah pulang kampung dan berjumpa semula rakan lamanya, dia terjerumus buat kali kedua.
“Saya berharap ini yang terakhir kerana saya ingin pulih sepenuhnya dan menjadi anak yang baik. Saya tidak sanggup untuk pulang ke kampung kerana masyarakat tidak mempercayai saya lagi,” katanya.
Rumah Insani
Sementara itu, Pengurus Rumah Insani, Ustaz Ahmad Fauzi Hussain berkata, pihaknya membantu ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah segi sosial, dadah dan mental.
“Kami berusaha menjadikan remaja terbabit sebagai insan yang bertakwa, beriman, beramal soleh, berilmu dan berakhlak mulia,” katanya.
Menurutnya, kini seramai 10 pelatih lelaki dan 25 pelatih wanita yang menjalani pemulihan di Rumah Insani yang telah beroperasi sejak 2006.
“Pengasas Rumah Insani adalah Ustaz Hanafi Abdul Malek yang berusaha membantu remaja yang bermasalah. Sehingga kini seramai 600 remaja telah melalui proses pemulihan dan rawatan,” katanya.
Ahmad Fauzi berkata, antara punca remaja bermasalah faktor persekitaran, pengaruh kawan dan ibu bapa yang tidak mengawal pergaulan anak mereka.
P/S: Aku tengok trend orang zaman lening, duk caya ke Tok Bomoh. X salah sebenonya nak g jupe tok bomoh, tgk laa kealiman dia dulu..nie x, pakai sebat jea..hahaha..kebanyakan Tok Bomoh kat Msia nie kaki2 kencing, nak kaut duit mung laa, haha...........Apapun mintak Doa dgn Allah dulu baru laa nak berikhtiar..nie x, Doa malas nak jumpe Tok Bomoh jea, Tok Bomoh lak banyak yang mengamalkan benda khurafat dan kalau salah cara jadi laa mcm cerita di atas...wallahualam
Sumber: Sinar Harian
3 comments:
Gila seks btl lah tok bomoh tu ye
Post a Comment