Ada sekali Andrew Carnegie dengan ditemani pengurus kilang turun melihat keadaan sebuah kilang besi yang baru dibelinya. Kilang tersebut mengalami kerugian teruk sebelum dibeli oleh Andrew Carnegie.Keadaan kilang sungguh teruk. Besi serta peralatan bersepah-sepah di sana sini.
Melihat keadaan kilang yang tidak terurus, kotor dan berterabur itu, Andrew Carnegie bertanya pada pengurus kilang, kenapa para pekerja tidak membersihkan kilang dan menyusun dengan kemas dan rapi segala peralatan yang ada?.
Pengurus itu dengan selamba menjawab bahawa begitulah amalan kebiasaan. Memang lama dulu mereka sering membersih dan menyusun segala peralatan kilang sebelum pulang. Tapi keadaan kilang akan kembali berterabur dan berselerak seperti biasa.
Akhirnya mereka membuat keputusan untuk membiarkan keadaan itu kerana jika dibersihkanpun akan berselerak dan kotor juga selepasnya. Andrew Carnegie memalingkan mukanya pada pengurus itu lalu bertanya dengan hairan,
"Kenapa anda basuh berak setiap kali selepas berak, bukankah selepas itu anda akan berak lagi?"
Tanpa menjawab pertanyaan Andrew Carnegie, pengurus terus bergegas kepada para pekerja dan mengarahkan mereka menyusun dan mengemas seluruh kilang setiap kali sebelum pulang. Dengan perubahan yang ringkas itu sahaja, kilang tersebut mula membuat lonjakan perubahan yang mendatangkan keuntungan.
Cuba lihat di rumah atau di pejabat kita. Mungkin ada perkara yang kita malas uruskan secara rutin dengan alasan ianya kerja sia-sia. Kita sangka walaupun diuruskan, masalah yang sama akan berulang kembali seperti biasa maka lebih baik dibiarkan saja. Itu mungkin sikap yang membawa kemerosotan tahap pencapaian kita.
No comments:
Post a Comment