Sunday, December 14, 2014

Kedah paling banyak ditumbuhi rumpai Mexico


ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Kedah mencatatkan jumlah tertinggi kawasan ditumbuhi rumpai miang Mexico di semenanjung Malaysia apabila mencatatkan keluasan 13 hektar melibatkan sembilan kawasan.

Manakala Perak mencatatkan keluasan lapan hektar (enam kawasan), Negeri Sembilan seluas 4.8 hektar (dua kawasan), Johor merekodkan 0.9 hektar (sembilan kawasan), Selangor dengan 0.7 hektar (satu kawasan) dan Melaka 0.08 hektar (satu kawasan) berdasarkan kepada hasil bancian Jabatan Pertanian sehingga 5 Disember lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Jabatan Pertanian Kedah, Ramli Abdul Rahman berkata, kes pertama yang dikesan di negeri ini adalah di Kampung Sungai Pasir, Sungai Petani pada Oktober tahun lalu susulan penemuan awal pada September tahun sama di Ulu Yam Bharu, Selangor oleh seorang profesor dari Universiti Malaysia Kelantan.

Bagaimanapun sejak kebelakangan ini tumbuhan berkenaan dikesan semakin aktif merebak di beberapa kawasan termasuk tepi jalan, kawasan perumahan, kawasan ternakan dan tanah persendirian.

“Kita juga sudah membuka bilik gerakan negeri bahagian Biosekuriti Tumbuhan Jabatan Pertanian pada 4 Disember lalu untuk memudahkan pelbagai pihak menyalurkan sebarang maklumat mengenai tumbuhan itu.

“Pegawai pertanian dan kakitangan di daerah juga turut diarah sentiasa peka untuk memastikan tindakan awal dapat diambil bagi mengesan, mengawal seterusnya memusnahkan tumbuhan perosak ini daripada terus membiak,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Ramli berkata, kawasan terlibat tidak boleh disita kerana penyebarannya berselerak bukan setempat sebagai contoh di kawasan tepi jalan.

“Proses memusnahkan tumbuhan itu dilakukan secara berterusan termasuk menggunakan kawalan kimia bergantung kepada lokasi pembiakan,” jelasnya.

Katanya, pelbagai program diadakan bagi tingkatkan kesedaran orang ramai tentang bahaya rumpai itu.

“Antara langkah itu termasuk mengedarkan poster di tempat tumpuan orang ramai seperti kedai makan, masjid, Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan beberapa tempat lain serta hebahan di radio.

“Kita juga beri taklimat kepada exco pertanian dan asas tani agar memaklumkan kepada kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan untuk sama-sama terlibat mengawal rumpai ini,” katanya. SinarHarian

1 comment:

Alongxp said...

macam tak kenal la rupe rumpai miang ni... lagipun kat selangor cuma ada 0.7 hektar je kan? kawasan mana agaknya tu e?