Friday, May 23, 2008

KeDah NegeriKU


Sebenarnya aku taklah suka cilok artikel org lain letak kat blog aku. Sebab xde maknanye. Tapi harini aku ada baca satu artikel politik mengenai negeri kedah. So memang mula-mula jumpa artikel tu aku dah berminat nak baca. Jadi untuk berkongsi aku pastekan lah artikel tersebut ok.



Pelik, mengapa kerajaan baru Kedah tidak diserang?
Posted on Wednesday, May 21 @ 13:47:02 MYT by reformis

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Dunia dilanda krisis kekurangan bekalan makanan. Kedah adalah pembekal utama beras di negara ini. Ironinya di Kedah, beras super tempatan di mana beras hancurnya 15 peratus, menghadapi kekurangan bekalan.

Dalam manifesto pilihan raya umum lalu, PAS Kedah menawarkan akan menjadikan negeri ini sebagai pengeluar makanan utama negara. Manifesto dibuat sebelum berlakunya krisis makanan dunia.


Projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) yang mengorbankan 4500 relong tanah milik Melayu ditentang oleh PAS adalah kerana projek tersebut, di samping menghilangkan hak Melayu, ia akan melenyapkan sumber bekalan makanan (beras) yang begitu besar jumlahnya. Penentangan ini dibuat sewaktu Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi belum lagi mengumumkan bahawa Sarawak akan dijadikan Jelapang Padi Ke-2 Negara.

Apabila tapak ZIPY boleh dialihkan ke laut, maka kerajaan baru PAS amat menyenanginya. Ia dijangka menghasilkan pulangan sebanyak RM200 juta setahun.

Menteri Besar juga baru-baru ini menegaskan sikap penentangannya terhadap polisi tanah pertanian ditukar untuk projek industri. Bahkan dalam satu pengumuman lain, beliau memaklumkan perancangan mahu memugar kawasan baru di atas tanah seluas 6,000 ekar, di luar kawasan MADA, untuk dijadikan kawasan baru sawah padi.

Semuanya adalah idea dan perancangan yang mendepani cabaran. Banyak lagi keputusan diambil kerajaan baru yang menyenangkan hati rakyat, sehingga membuntukan pihak pembangkang negeri ini untuk melakukan sesuatu.

Bukan meminta. Tapi agak pelik, kerana selepas dua bulan berlalu kerajaan negeri Kedah belum ‘diacah’ oleh pembangkang di negeri ini, mahupun oleh media perdana yang dikuasai mereka.

Kerajaan negeri Selangor diserang dengan isu babi dan dakwaan kononnya Pakatan Rakyat memungkiri janji pilihan raya. Di Perak, serangan bermula seawal percubaan Lim Kit Siang mengarahkan pemulauan majlis angkat sumpah Menteri Besar. Kini pemecatan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak oleh Menteri Besar dan serangan Dato' Seri Nizar Jamaludin terhadap sistem pelajaran dijadikan tapak peledak melancarkan serangan balas Umno Perak.

Di Pulau Pinang, Lim Guan Eng diserang selepas sidang media exco yang pertama lagi. Kenyataannya mahu menghapuskan kronisme dalam DEB diputarbelitkan sebagai mahu menghapuskan DEB. Ekorannya, Umno yang selama ini menentang perhimpunan jalanan terpaksa menjilat ludahnya apabila menganjurkan demonstrasi jalanan.

Kerajaan Kelantan pula, sudah puas menerima belasahan tanpa belas kasihan sejak 18 tahun lalu.

Sebagai pengulas politik, penulis sentiasa ‘dibekalkan’ dengan sumber-sumber penyelewengan dalaman pemimpin-pemimpin BN terdahulu, sewaktu mentadbir negeri. Terlalu banyak kebocoran dalam pentadbiran dan GLC. Isu Marina Harbour, Chalet Pulau Sayak, Jambatan Pulau Bunting, Chalet Tasik Pedu, Kompleks Ikan Bakar Kuala Kedah, Chalet Muzium Padi; semuanya kantoi.
Semuanya ada kaitan dengan tokoh-tokoh politik. Penulis hanya menjelaskan bahawa semua itu ada dalam pengetahuan kepimpinan kerajaan baru negeri. Tapi ia bukan keutamaan buat masa ini untuk mendedahkan penyelewengan mereka.

Pembongkaran penyelewengan itu dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno sendiri terhadap rakan dalam satu parti yang bukan kroni. Musuh politik mereka pun buat kerja yang sama, bongkar juga. Akhirnya lengkaplah profil penyelewengan yang mahu dikumpul.

Memang ramai yang tertanya-tanya, antara lima negeri dikuasai Pakatan Rakyat, mengapa Kedah menjadi satu-satunya negeri yang tidak diserang? Terdapat beberapa kemungkinan.

Pertama, Umno sedar bahawa ‘bekalan peluru’ lebih banyak di pihak PAS. Dangkal benar perhitungan politik mereka untuk menjolok sarang tebuan.

Kedua, semua tahu Umno Kedah pun sedang nazak benar. Cakap orang sedang nazak, mana ada bisa. Kalau dalam keadaan tenat pun masih tunjuk jaguh, nampak sangat rendah hemah. Macam bekas Menteri Besar Perak, Dato' Seri Tajul Rosli Ghazali yang mengumumkan untuk sedia letak jawatan ADUN Pengkalan Hulu kerana yakin akan dapat undi majoriti lebih besar kalau buat pilihan raya kecil. Perangai Umno seperti itu yang timbulkan kemarahan rakyat, iaitu perangai angkuh dan sombong yang tak pernah surut.

Ketiga, tiada apa yang nak diserang. Menteri Besarnya, seorang yang cermat dalam tindakan dan pengucapan. Tiada pemecatan, tiada tindakan drastik, tiada rombakan besar-besaran, tiada serangan, tiada balas dendam, maka tiadalah kontroversi. Tadika Kemas diteruskan, premis tidak diganggu, gaji guru SAR diselaras, elaun KAFA dikaji kenaikan, imam tidak lagi tertekan, kakitangan kerajaan bebas berpolitik di luar waktu kerja, cukai tanah turun, hubungan dengan istana intim, pelabur datang berpusu-pusu, kedatangan pelancong naik mendadak, KCS dan penghulu nyatakan sokongan tidak berbelah bagi, kaki bola gembira, bukan Islam senang, rakyat selesa.


No comments: