Saturday, December 29, 2012

Kerana Cemburu Isteri Dibunuh?



ALOR SETAR – Pertengkaran sepasang suami isteri yang disyaki berpunca daripada perasaan cemburu berakhir dengan tragedi apabila wanita yang baru berkahwin enam bulan lalu itu ditemui mati di rumah mertuanya di Kampung Alor Gelegah di sini semalam.
Kejadian pukul 2 pagi itu mengakibatkan pembantu kedai, Nor Fatimah Anis Md. Radzi, 17, mati dengan kesan kecederaan di kedua-dua belah kaki dan tangan selain kesan luka di dahi.
Dia dipercayai dipukul dengan dua batang buluh sepanjang 0.89 meter di hadapan rumah tersebut.
Difahamkan, ketika kejadian, ibu dan bapa mertua mangsa tiada di rumah kerana pergi ke rumah anak mereka di Pahang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, polis percaya kejadian itu bermotifkan cemburu namun pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca sebenar.
“Sebelum kejadian, pasangan itu dikatakan bertengkar di depan rumah sebelum mereka keluar dengan menunggang motosikal dan pulang 15 minit kemudian sambil diekori seorang lelaki yang menaiki motosikal berasingan.
“Sebaik tiba di rumah, suami wanita itu dan lelaki tersebut bergaduh. Semasa pergaduhan itu, mangsa cedera selepas dipukul di kepala dengan objek keras,” katanya kepada pemberita di sini.
Lelaki itu kemudian beredar manakala suami mangsa membawa isterinya masuk ke dalam rumah.
Menurut Mohd. Zakaria, polis telah menahan tiga lelaki termasuk suami mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kesemua lelaki itu berusia dalam lingkungan 20-an. Dua lelaki itu merupakan kenalan pasangan tersebut.
“Kita anggap kes ini selesai dengan penangkapan tersebut,” katanya yang memberitahu mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk bedah siasat.
Sementara itu, salah seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memberitahu, dia bergegas ke rumah mangsa yang terletak berdekatan dengan kediamannya selepas terdengar pasangan itu bertengkar.
Kosmo

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...